info-info menarik !

Breaking

Monday, April 2, 2018

'Jangan ingat saya akan diam!' - Ibu kesal guru lempang pipi anaknya hanya kerana kesalahan kecil


"Saya hantar anak ke sekolah untuk belajar! Bukan untuk dilempang di kedua-dua belah muka sesuka hati oleh guru. Dah lempang tanpa usul periksa, baru nak minta maaf sebab tersalah lempang," demikian tulis Suzana Norlihan Ujen.


30 Mac lalu, Suzana yang juga merupakan peguam memuat naik video luahan ketidakpuasan hatinya di Facebook mengenai tindakan seorang guru sekolah yang didakwa telah menampar kedua-dua belah pipi anaknya berusia 10 tahun. 

Suzana berkata, kesalahan yang dilakukan oleh anaknya hanyalah kesalahan yang kecil, bukannya kesalahan yang besar. Ekoran kejadian itu, anaknya mengalami kesakitan di bahagian kepala dan telah dibawa ke PPUM untuk mendapatkan rawatan. 

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada waktu pagi ketika kelas Pendidikan Jasmani di mana guru terbabit yang bukan guru kelasnya mahupun guru Pendidikan Jasmani didakwa telah menarik telinga dan menampar pipi murid bekenaan kerana dia dilihat bermain dengan bendera yang dipacakkan di penjuru padang. 

Sebelum kejadian itu, murid berkenaan telah dipanggil oleh guru terbabit yang kemudian menarik telinganya dan membawa murid berkenaan ke depan kelas pelajar lain. Guru itu juga memberitahu bahawa bendera yang dipacakkan itu adalah hak milik kerajaan, bukannya milik ibu bapa murid berkenaan. 

Serentak dengan itu, guru itu terus menampar kedua-dua belah pipinya menyebabkan murid itu menangis, malah guru terbabit didakwa telah mengugut untuk menampar mangsa sekiranya dia menangis lagi. 

Bagaimanapun, mangsa menyatakan bahawa bukan hanya dia seorang sahaja yang bermain dengan bendera tersebut, malah ada beberapa murid yang lain turut bermain dengan bendera tersebut. Guru itu kemudian meminta maaf sambil menjelingnya. 


Suzana hanya mengetahui kejadian itu selepas melihat kedua belah pipi anaknya kemerah-merahan. Beliau kesal dengan tindakan guru terbabit yang menyebabkan anaknya kini tidak sihat dan tiada selera untuk makan. Suzana tidak menyangka kejadian ini berlaku kerana anaknya merupakan seorang pengawas dan merupakan seorang anak yang mendengar kata. 

Difahamkan, Suzana sebelum ini pernah memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai kesihatan anaknya dan meminta kepala anaknya tidak 'disentuh' kerana tempurung kepalanya pernah retak akibat ditolak oleh rakannya sehingga terjatuh dan terkena pada bucu meja. 

Kesan dari kejadian itu, anaknya mengalami kesakitan kepala sehingga ke hari ini dan ibu bapanya terpaksa mencari pelbagai rawatan untuk menyembuhkannya. Malangnya, belum sempat untuk pulih, sakit kepala anaknya datang kembali selepas ditampar guru terbabit. 



Selain itu, Suzana turut dihubungi oleh beberapa ibu bapa sekolah anaknya yang memaklumkan anak mereka juga pernah mengalami kejadian yang tidak sepatutnya dengan guru terbabit yang dikatakan pernah membaling buku sehingga terkena pada muka murid perempuan sedangkan tiada kesalahan yang dilakukan. Dakwanya, guru berkenaan hanya ingin memulangkan buku murid berkenaan. 

Seorang murid juga pernah menangis kerana dituduh oleh guru terbabit kononnya dia cuba menyihirnya. 


Ekoran dari kejadian itu, Suzana telah membuat laporan polis. Jelas Suzana dalam video tersebut, dia tidak akan berdiam diri dengan kes itu dan akan mengambil tindakan undang-undang berhubung kejadian tersebut. 
Sumber : http://bit.ly/2BBMEo7

No comments:

Post a Comment