info-info menarik !

Breaking

Friday, January 26, 2018

"Tak Malu" - Doktor Check Isteri Marah, Sudahnya Diminta Doktor Azankan Anak Baru Lahir!


Kebanyakan wanita tidak selesa apabila dilayan atau diperiksa oleh doktor lelaki sewaktu berada di hospital, apatah lagi ketika saat-saat mahu melahirkan. Pun begitu, adalah sudah menjadi tanggungjawab seorang doktor untuk memeriksa pesakit. Selain itu, mereka juga layak menyambut kelahiran bayi jika situasi darurat.

Doktor lelaki dibenarkan menyambut kelahiran bayi sekiranya tiada doktor perempuan yang hadir atau mampu menyambut kelahiran bayi atas dasar keselamatan ibu dan anak yang akan dilahirkan nanti. Namun begitu, seorang lelaki tidak selesa dengan hal ini dan menuduh doktor bertugas yang bukan-bukan hanya kerana mahu memeriksa isterinya.



Berdasarkan perkongsian seorang lelaki dikenali sebagai Ahmad Zakimi Abdullah, doktor ini menceritakan pengalamannya di Facebook ketika melayan kerenah seorang lelaki yang nekad mahu doktor wanita menyambut kelahiran anaknya. Lelaki tersebut turut mempersoal kehadiran doktor perempuan yang langsung tidak kelihatan di situ pada ketika itu.

“Eh doktor! Takde doktor perempuan ke?” kata lelaki tersebut kepada Ahmad.

“Mana boleh doktor lelaki periksa isteri saya. Doktor ni tak belajar agama ke? Kan aurat tu. Hospital kat Malaysia ni tak Islam sungguh gamaknya,” tambahnya lagi.

Tidak pasal-pasal dituduh tidak tahu agama dan tidak islamik, Ahmad tidak cepat melatah dengan kata-kata lelaki tersebut dan membalasnya dengan baik dan tenang. Doktor itu menjelaskan bahawa hanya dia sahaja yang bertugas pada waktu itu dan dibenarkan menyambut kelahiran bayi atas dasar darurat.

“Tidak ada encik. Saya seorang sahaja oncall malam ni. Doktor perempuan tak bertugas malam ni. Hanya saya seorang,” kata Ahmad.

“Saya pun doktor muslim. Saya memang tak alim sangat tapi tahu juga sikit pasal agama. Isteri encik kan nak bersalin. Dalam keadaan nak bersalin tu dah kira darurat,” tambahnya lagi.

Setelah sejam setengah berlalu, bayi kepada lelaki tersebut selamat dilahirkan secara normal. Seperti yang biasa dilakukan mengikut ajaran Islam, Ahmad menyerahkan bayi tersebut kepada bapanya dan meminta dia mengazankan anaknya yang baru dilahirkan itu. Pun begitu, Ahmad agak terkejut dengan balasan yang diberikan oleh lelaki tersebut.

“Tapi doktor. Saya tak tahu sangat azan. Tak biasa. Boleh doktor azankan dan doa-doa sikit,” kata lelaki tersebut.

Walaupun sudah menyucapkan ayat-ayat yang tidak sedap didengar kepada doktor itu tadi, boleh pula lelaki itu tanpa segan silu meminta Ahmad membantunya mengazankan anaknya sendiri.

Aduhai! Pun begitu, Ahmad tetap mengajar lelaki itu bagaimana caranya dengan penuh sabar.

Perkongsian Ahmad bukanlah bertujuan memalukan lelaki tersebut, namun sekadar untuk dijadikan iktibar dan pengajaran kepada pasangan lain.

Semoga Doktor Ahmad sentiasa tabah melayan kerenah-kerenah pengunjung hospital yang macam ni.

Sumber : Ahmad Zakimi Abdullah via lobakmerah

No comments:

Post a Comment