Remaja Sanggup Kayuh Gerek Sejauh 20 Km Semata-Mata Mahu Merealisasikan Impian Bertemu Idola - maitengok!

info-info menarik !

Breaking

Monday, January 22, 2018

Remaja Sanggup Kayuh Gerek Sejauh 20 Km Semata-Mata Mahu Merealisasikan Impian Bertemu Idola


LANGKAWI - Seorang remaja sanggup mengayuh gerek (basikal) sejauh hampir 20 kilometer (km) semata-mata mahu berjumpa idolanya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Muhammad Ridwan Muhammad, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri bersama rakan, Nur Adam Nazrat berbasikal dari rumah mereka, di Kuah hingga ke Chandek Kura, sebelum meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Mat Sirat, lapor Sinar Harian.

“Sebaik tahu Tun Mahathir ada di Langkawi, kami rancang nak swafoto dengan beliau. Kami rancang sehari awal sebab minat sangat dengan Tun. Kami teruja nak jumpa secara berdepan,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya mereka merancang untuk hadir pada program Sembang Santai bersama Mahathir di Nyiur Chabang, namun dibatalkan kerana tiada kenderaan.

“Esoknya saya dapat tahu penerbangan Tun Mahathir pada jam 4 petang, ketika itu jam sudah pun jam 3.30 petang.

"Dalam masa setengah jam itu, saya dan Nur Adam nekad mahu jumpa juga, jadi kami ambil keputusan naik gerek saja,” katanya.

Tanpa berlengah, kedua remaja itu mengayuh basikal selaju mungkin kerana bimbang tidak sempat sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sebelum jam 4 petang.

“Dari Kuah, kami kayuh hingga ke Chandek Kura kira-kira 18 KM, ketika itu kami dah penat, kaki dah lenguh kayuh. Kalau teruskan mesti tak sempat jumpa sebab jalan situ agak mencabar berbukit,” katanya.

Akhirnya, Muhammad Ridwan dan Nur Adam meninggalkan basikal di tempat selamat dan menghubungi Grab Car untuk membawa mereka ke lokasi.

“Cemas sebab ketika itu sudah 3.50 petang, nasib tambang hanya RM3. Kami sampai sebelum Tun Mahathir tiba, sempatlah hilangkan lelah tadi,” katanya.

Sebaik kenderaan bekas Perdana Menteri itu tiba, orang ramai berkerumun mahu bergambar bersama beliau menyebabkan Muhammad Ridwan dan Nur Adam turut berasak mencari ruang.

“Saya gembira sangat dapat berswafoto, dapat juga sembang sekejap. Tun pesan suruh rajin belajar dan solat, jangan cicir sekolah dan jawab peperiksaan PT3 dengan baik. Itulah kenangan paling manis tahun ini,” katanya.

Menurutnya, pengalaman itu pasti tidak dapat dilupakan walaupun pulang dalam hujan renyai dan tertidur sebaik tiba di rumah akibat kepenatan.

“Saya minat Tun sejak belajar subjek Sejarah waktu sekolah rendah lagi, kemudian saya banyak baca kejayaan dan kisah hidup Tun melalui internet.

Saya juga mengikuti perkembangan beliau menerusi laman sosial,” katanya.

Muhammad Ridwan turut kagum dengan kejayaan negara bawah pemerintahan Mahathir dan sedih kerana negarawan itu dihina kebelakangan ini hanya kerana perbezaan parti politik.

“Rakyat Malaysia harus hargai jasa Tun bangunkan negara, kisah hidup beliau boleh dijadikan inspirasi,” katanya. Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment