Dangdut ‘Lucah’ Dalam Kampung! - maitengok!

info-info menarik !

Breaking

Wednesday, January 24, 2018

Dangdut ‘Lucah’ Dalam Kampung!


KEMUNCULAN mendadak tarian dangdut yang menampilkan unsur lucah dengan penari berpakaian seksi membawa lenggok tarian yang mengghairahkan di Kampung Telari, di sini mencetuskan rungutan penduduk.

Sedangkan sebelum ini perkampungan itu terkenal begitu memelihara budaya tradisional seperti dikir barat sebagai hiburan bersama rakan-rakan dan juga anggota keluarga yang diadakan sebulan sekali.

Namun kini persembahan hiburan itu tidak lagi ditonjolkan sejak beberapa tahun lalu, hingga dangdut mengambil tempatnya dengan daya tarikan yang kuat, hingga mampu menggamit warga emas berkopiah.

Ada pula penonton membawa bersama anak-anak kecil menyaksikan tarian yang tidak bermoral itu, seolah-olah itu tarian biasa sahaja.

Bernama melakukan tinjauan selama sebulan di tempat persembahan, bagi menyaksikan sendiri ‘kemeriahan’ di kawasan tersebut.

Wartawan mendapati persembahan bermula 9 malam hingga 12 tengah malam dengan menampilkan empat penyanyi wanita berpakaian seksi dan menari dengan gaya mengghairahkan bersama lagu berbaur lucah.

Seorang penduduk kampung (lelaki) terbabit berusia 40-an yang enggan dikenali berkata persembahan dangdut dilakukan dua hingga tiga kali seminggu tanpa jadual tetap.

“Kita orang kampung dah banyak kali tegur tapi tidak diendahkan kerana kawasan yang digunakan untuk persembahan tersebut adalah tanah persendirian dan orang kampung tidak boleh berbuat apa-apa.

“Penyanyi yang membuat persembahan ini kebanyakan diambil dari negeri jiran (Kelantan), dan mereka ini dibayar anggaran RM400 seorang untuk membuat persembahan satu malam,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga tidak menafikan masyarakat kampung mulai berasa terganggu dengan kebingitan muzik dangdut hingga ada yang sukar melelapkan mata.

Persembahan tersebut dianjurkan secara percuma oleh beberapa orang perseorangan di kawasan tanah persendirian yang dipercayai milik penduduk kampung itu.

Katanya keadaan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana jarak lokasi itu kurang 200 meter dari masjid yang menjadi pusat latihan marhaban dan pusat Taranum al-Quran.

Tambahnya, penonton yang hadir bukan sahaja daripada kampung berkenaan malah ada juga dari Marang, Wakaf Tapai, dan beberapa kawasan lain.

Sementara itu, seorang lagi penduduk berusia 60-an turut memberitahu hampir 80 peratus penduduk kampung tidak senang dengan kegiatan tersebut dan berharap ia mendapat perhatian pihak berwajib.

“Saya bimbang jika aktiviti seperti ini berterusan… ia akan memberi kesan negatif kepada anak-anak kampung kerana penonton yang hadir bukan sahaja hanya melihat persembahan malah mereka turut diminta bersama-sama menari di ruangan persembahan,” katanya.

Dalam tinjauan itu, dapat dilihat beberapa kali penyanyi wanita bertindak menarik penonton dan penonton lelaki yang ‘usianya telah senja’ turut menari bersama mereka dan kanak-kanak yang berada di situ dari pelbagai peringkat umur. Ada seawal umur setahun.

Di akhir temu bual, penduduk kampung berkenaan sempat melontarkan harapan agar ada pihak yang tampil mengambil tindakan kerana telah beberapa kali aduan dibuat namun setakat ini tiada sebarang tindakan yang dilakukan bagi menghentikan persembahan tarian ‘ghairah’ di kampung itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Wan Ismail Sahaimi Wan Omar yang dihubungi berkata pihak penguatkuasaan syariah JHEAT mengesahkan bahawa ada beberapa kali menerima aduan daripada penduduk Kampung Telari.

“Buat masa ini kita masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan penduduk kampung berkenaan,” katanya.


Sumber : mynewshub

No comments:

Post a Comment