info-info menarik !

Breaking

Sunday, December 31, 2017

Larang ketum: ‘Malaysia rugi RM100 juta setahun’


Malaysia dianggar mengalami kerugian lebih RM100 juta setahun kerana melarang penanaman ketum secara komersial untuk dieksport ke pasaran luar negara.

Pengerusi Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, negara kerugian ratusan juta ringgit setiap kali pihaknya membangkitkan cadangan itu.

"Apabila saya keluarkan kenyataan berkenaan ketum, negara lain yang ambil manfaat dan keuntungan menerusi syarikat multinasional mereka yang memenuhi permintaan ketum di Eropah.

"Sudah bertahun saya bangkitkan isu ini, kita lihat pasaran semasa sekarang penjualan daun ketum ke Eropah didominasi Indonesia dan Vietnam namun kita masih ditakuk lama," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Bantuan 'Back To School 2018' Peringkat Parlimen Padang Besar di Tapak Pasar Sehari (NAT), Bukit Keteri, Beseri, di Padang Besar, hari ini.

Zahidi berkata, terbaru pihaknya mendapati Indonesia menjana ratusan juta ringgit setahun hasil daripada eksport tanaman berkenaan.

"Pusat penanaman ketum di Kalimantan, Indonesia menjana RM10 juta bersih sebulan manakala kita masih berperang mulut membahaskan isu ini," katanya menambah pasaran Eropah berminat dengan tanama ketum di negeri utara tanah air kerana mempunyai kualiti yang baik.

Zahidi berkata, sekiranya kerajaan meluluskan penanaman ketum secara komersial, pendapatan negara akan meningkat menerusi pungutan cukai.

Justeru, pihaknya berharap dapat mengadakan satu perjumpaan khas dengan kerajaan bagi membincangkan itu itu.

"Segelintir pihak tidak faham kerana mereka menganggap sekiranya kita meluluskan tanaman ketum secara komersial, masalah penyalahgunaan tumbuhan berkenaan oleh pihak tidak bertanggungjawab akan timbul dan lebih teruk merosakkan generasi muda.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini ladang yang akan diusahakan nanti akan dikawal ketat oleh pihak berkaitan malah RISDA akan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk memantau penanaman terbabit supaya tidak disalah guna," katanya.

Sumber : malaysiakini

No comments:

Post a Comment