IKLAN

Siapa Dekat Belakang Tu...


Aku turun pejabat agak lambat petang ni. Ini semua kerja-kerja last minit yang bos bagi pada aku. Dekat pukul tujuh jugaklah kerja-kerja tu semua baru siap. Aku kadang-kadang naik hairan dengan perangai bos yang suka bagi kerja last minit ni. Tapi nak buat macam mana kan, dah dia bos.

Nanti bila dilawan kena maki pulak. Pasrah sahaja lah. Kawan-kawan yang lain semua dah balik, terutama yang perempuan, laju je tadi aku tengok mereka keluar. Hmm, mentang-mentanglah malam rabu. Ladies night katanya. Geram betul aku tengok Eka tadi, bila lah aku dapat keluar dengannya. Mungkin mata kail aku tak cukup tajam.

Aku tekan butang nombor 1 pada pintu lif, tunggu lebih kurang kemudian masuk ke dalamnya. Pejabat aku di tingkat 6, jadi untuk tunggu lif turun sampai ke tingkat 1 bukanlah memerlukan masa yang lama. Tapi kenapa petang ni kenapa lama sangat lif ni nak turun?

Hampir setengah minit jugaklah aku tunggu hendak sampai ke tingkat 1. Yang memelikkan lagi keadaan, lif ini berhenti hampir di setiap tingkat, tapi bila pintu di buka, tiada seorang pun yang menunggu di hadapannya. Bulu roma aku meremang secara tiba-tiba.

Dalam hati aku lahanat mana yang main-main tekan butang lif. Tapi mana mungkin sebab semua pejabat di tingkat-tingkat lain juga dah tutup. Aku kuatkan semangat dan anggap ini hanyalah satu kerosakan teknikal.

“Tingg!”

Aku hulur sebelah kaki untuk keluar dari pintu lif. Aik? Aku toleh kiri kanan dan depan. Ini pejabat aku dan ini tingkat 6. Kenapa lif ini bawa aku naik semula ke tingkat 6? Aku mula bingung. Aku masuk dan tekan semula butang nombor satu. Memang nak kena lah lif ni, main-mainkan aku pulak. Dia tak tahu ke sekarang ni dah maghrib. Namun lif masih seperti tadi, tetap berhenti di setiap tingkat. Cepat-cepat aku menekan butang tutup semula, angka nombor 1 itu aku tekan berkali-kali. Akhirnya pintu lif terbuka dan berhenti di tingkat 1. Fuhh… aku menghembus nafas lega.

“Wak, lif tu dah kenapa? Rosak ke?” Aku tegur Wak jaga yang menjaga di blok bangunan.

“Mana ada rosak. Ye elok je kau turun ni” Jawab Wak jaga dengan slang jawanya yang pekat.

“Iya lah, tapi masa aku nak turun tadi lif tu asyik berhenti-berhenti je.” Aku beri penjelasan

“Ye ke? Iya tak apalah, nanti Wak komplen pada pihak pengurusan bangunan.” Wak beri jawapan mudah.

Aku hidupkan enjin kereta dan beredar terus. Malas aku nak buang-buang masa, esok nak kena kerja lagi, lebih baik aku berehat di rumah sambil layan movie. Faedah balik lambat ni satu je yang aku nampak. Tak perlu nak menghadap trafik jam dan berebut-rebut dengan kenderaan lain sebab jalan dah clear.

Aku tolak tombol gear ke D dan terus meluncur laju membelah angin senja. Jalan pun dah mula lengang, aku memandu dengan tenang dan tidak tergopoh-gapah. Hati pun senang.

Lampu-lampu neon di kedai-kedai dan juga hingar bingar manusia di gerai-gerai tepi jalan membuatkan aku terus lupa pada kejadian aneh di lif tadi. Hati aku kuat mengatakan mungkin itu hanyalah kerosakan teknikal. Aku teringat pada 3 minggu yang lepas, rakan sekerja aku Fida yang terperangkap di dalam lif akibat lif tiba-tiba berhenti.

Menangis tak berlagu dia dalam tu. Aku tersenyum mengingatkan kejadian yang bagi aku lucu tapi tidak pada dia. Katanya dia terdengar ada bunyi orang sedang berjalan-jalan di bumbung atas lif. Ada-ada sahajalah dia tu. Memanglah di dalam ketakutan kita biasanya akan terhalusinasi dengan benda-benda sebegitu.

Pekan kecil yang padat dan penuh dengan gerai makan tadi aku sudah lepasi. Untuk pulang ke rumah, aku perlu ambil exit ke lebuh raya. Lebuh raya ini terkenal dengan keadaan gelapnya bila waktu malam, kerana lampu jalan masih belum di pasang.

Ramai pengguna yang sudah komplen berkenanaan hal ini. Iyalah, mereka semua termasuk aku sudah bayar tol tapi fasiliti-fasiliti asas seperti ini pun mereka tak mampu-mampu lagi sediakan. Jadi apa gunanya bayar tol mahal-mahal kalau pengguna lebuh raya disajikan dengan keadaan gelap begini?

Aku malas nak mengomel lagi, pedal minyak ditekan saat melepasi tol. Aku memandu dengan agak rileks dengan memilih lorong kiri sekali. Terasa tercabar juga bila kereta-kereta lain memotong, tapi aku sedar kereta aku hanya 1.3 sahaja.

Aku jarang memandu dengan laju, biasanya lagu-lagu pilihan sudah tersedia aku pasang seperti sekarang ini. Memandu sambil mendengar lagu amat mengasyikkan. Rasanya seperti di dalam muzik video jika lagu itu kena dengan situasi pemanduan.

Aku jeling jam di dashboard, jam sudah menginjak ke angka 7:34 malam. Jarak ke rumah ada lagi lebih kurang 18 kilometer. Aku rasa macam aku seorang sahaja yang berada di atas jalan raya. Ramai yang tak memilih untuk melalui lebuh raya ini kerana satu, perlu membayar tol, kedua kerana ada jalan alternatif lain.

Aku lebih rela mengguna lebuh raya yang di kiri dan kanannya kelapa sawit ini kerana mahukan pemanduan yang lebih rileks tanpa ada sebarang gangguan lampu isyarat yang berderet-deret.

Tekak ku tiba-tiba terasa sudah meminta-minta asap rokok. Sambil memandu aku keluarkan sebatang daripada kotak lalu membuka tingkap. Aku seluk poket jeans kiri. Tak ada. Aku seluk pula poket kanan. Juga tak ada. Aku syak budak-budak pejabat aku tadi dah rembat lighter aku. Pinjam tak tahu nak pulang.

Sudahnya aku yang merana tak dapat menghisap rokok. Aku menggigit puntung rokok kuat tanda geram. Tiba-tiba ada satu tangan dari belakang menghulur lighter pada aku.Tanpa pandang ke belakang, aku sambut lighter tersebut dan terus menyalakan rokok. Puas rasanya.

“Haa.. dapat pun hisap rokok. Terima kasih!”

“Sama-sama……”

Mata aku tepat memandang ke jalan raya, darah aku sudah mula berderau. Aku cengkam stereng dengan kuat sambil merapatkan dada ke hadapan. Gila apa. Siapa yang hulur lighter pada aku dari belakang ni? Tersedak-sedak aku tertelan asap rokok, aku ambil rokok dari bibir lalu campak keluar tingkap.

Jantung yang berdegup dengan kencang membuatkan aku jadi sesak dengan asap nikotin ini. Suasana tiba-tiba menjadi sunyi sepi yang amat sangat. Hanya pokok-pokok kelapa sawit di kiri dan kanan yang menemani perjalanan.

Dalam kesunyian itu aku terdengar sesekali bunyi dengusan dari kerusi belakang. Terdengar juga bunyi batuk-batuk kecil dan berdehem. Aku teringat kata-kata Wak jaga sebelum aku pulang tadi.

…………………………….

“Tak nak pegi minum-minum dulu ke? Maghrib ni, bahaya balik waktu macam ni.”

“Tak nak lah Wak. Aku nak cepat ni, baik aku minum dekat rumah je.”

“Baiklah. Elok-elok memandu. Biasanya dia memang suka keluar waktu maghrib.”

“Ish wak ni! mulut tu jaga lah sikit. Zaman sekarang kat bandar ni mana lah ada hantu semua tu!”

……………………………………….

Kata-kata wak tadi buat aku terkesima sekarang. Aku pandang cermin belakang untuk memastikan apa yang sebenarnya ada di belakang aku ketika ini. Adakah halusinasi? atau adakah ini satu mimpi seperti dalam cerita yang aku baca di satu page minggu lepas? Dalam ketakutan aku pandang cermin pandang belakang..

“Krrreeeeerhhhhhhhhhh…!!!

Gampang! Benda apa tu!! Wajahnya hodoh, mukanya sangat cengkung dan berkedut seribu! Masa aku pandang dia, dia sedang mendengus dan mendesih macam kucing tengah bergaduh. Aku terus hala dan alihkan cermin pandang belakang ke tempat lain, demi untuk mengelak daripada terlihat sekali lagi.

Bertenang adalah perkara yang paling diperlukan sekarang ini. Mungkin dia hanya mahu menumpang, lama-lama nanti hilang lah tu. Aku cuba positifkan diri yang sebenarnya dah tak boleh nak positif ni.

Masa tu aku rasa aku dah tak boleh duduk bersandar di kerusi, risau kalau-kalau dia hulurkan tangan pula dan cekik aku. Apa yang aku perasan tadi wajahnya macam seorang lelaki tua, matanya putih tak nampak anak mata.

Perlahan-lahan aku turunkan semua keempat-empat cermin kereta dengan harapan dia akan keluar dari kereta aku. Aku terus membaca apa-apa ayat pelindung dan surah yang aku tahu.

“Kau ingat aku akan keluar semudah itu? he… he… he…”

Tersentak aku. Alamak sekali dia menjawab pulak! Dengan suaranya yang garau-garau basah, memang amat menakutkan sekali. Aku meneruskan pemanduan, dada dengan stereng nampaknya dah makin rapat. Aku sambung lagi baca surah Al-Kursi.

Di pertengahan pembacaan, tiba-tiba aku terdengar ada seperti satu suara bergema. Aku berhenti baca sambil diam mendengar. Namun, apa yang mengejutkan aku adalah, rupa-rupanya makhluk di belakang aku ini turut ikut aku membaca surah Al-Kursi. Lagi lancar pulak tu daripada aku! Aku tergamam menggigil ketakutan.

“Mengapa kau terkejut wahai manusia? terkejut sebab aku boleh baca ayat Kursi dengan lancar?”

Makhluk di belakang menyambung lagi

“Kita semua makhluk Tuhan yang satu. Adakah kau pernah terdengar cerita tentang syaitan dan Abu Hurairah pada zaman Rasulullah suatu ketika dahulu? Ia mengisahkan tentang seekor syaitan yang menjelma menjadi manusia dan selalu datang ke tempat Abu Hurairah untuk mencuri makanan. Adakah kau tahu ayat apa yang syaitan itu ajarkan kepada Abu Hurairah ketika datang mencuri buat kali ke tiga?”

“Syaitan itu sendiri yang mengajar ayat Kursi kepada Abu Hurairah. Ayat daripada al-Quran yang bermanfaat untuk melindungi diri daripada gangguan syaitan. Hahahahaha…! Manusia, jangan kau sombong dan berlagak angkuh di dunia ini wahai manusia..! hahaha!”

Aku geram dalam ketakutan. Ketawa nyaringnya memenuhi segenap ruang kereta aku. Aku dah tak fikir apa, kalau kau tak mahu keluar biar aku yang keluar sendiri. Mungkin aku boleh tahan kenderaan lain dan tumpang pulang ke rumah. Aku perlahankan kereta lalu menghimpit ke kiri jalan dengan niat untuk berhenti.

“Bammmm!!!!”

Setan tua bermuka kedut seribu tadi melompat ke bonet hadapan kereta aku bila lihat aku mahu berhentikan kereta. Muka hodohnya betul-betul diletakkan di depan aku. Mulutnya melebar ternganga dan menyeringai seperti mahu menelan. Terhoyong-hayang aku mengawal stereng!

“KALAU KAU BERHENTI AKU AKAN TERUS TAKUTKAN KAU MACAM APA YANG AKU BUAT SEKARANG NI!!!

Bangsat! Aku cuba mengawal kereta daripada terus terbabas menghentam divider jalan, dan setelah beberapa ketika dia menghilang dari depan bonet. Aku rasakan seperti kerusi belakang sedang diduduki seseorang. Memang dia ada lagi di sini, sedang duduk di belakang aku. Peluh di dahi sudah mula bercambah-cambah bagai hujan di dalam kereta. Ketika itu aku dapat rasakan, ada satu tangan yang memegang bahu aku. Jari jemarinya halus dan sejuk. Nampaknya ‘dia’ buat hal lagi.

“Kau takut?”

Bodoh. Soalan apa ni? Siapa yang tak takut kalau diperlakukan sebegini rupa. Setan betul lah setan ni. Aku tak selesa dan anjak badan ke depan sedikit. Sudah tak ada orang lain lagi ke setan ni nak kacau. Aku dah lah penat kerja, kena balik lewat, kena kacau pulak tu. Menangis terus aku sambil menggigil mencengkam batang stereng.

“Tolonglah.. jangan kacau aku. Walau apa pun rupa kau, tolonglah jangan tunjukkan dekat aku, balik lah ke tempat asal kau. Tolong.. aku merayu sangat-sangat.. Aku hanya takutkan Allah”

“”Krrreeeeerhhhhhhhhhh…!!!”

Syaitan itu mendengus lagi

“HAHAHAHAHA! Takutkan Allah konon! Kau tahu kan sekarang ni dah masuk waktu maghrib, kenapa kau tak berhenti dan sembahyang dahulu? hahaha, manusia..manusia. Langsung tak takut dosa. Tapi nak buat macam mana kan, dah memang tugas aku dan semua kaum bangsa aku untuk menghasut dan menyesatkan semua umat manusia sampai hari kiamat. Itu kami sudah janji dengan Tuhan. Aku rasa tak ada sebab untuk kaum keluarga aku sujud menyembah Adam, kaum kau. Sebab aku rasa sekarang ni manusia yang lebih setan daripada setann!! HAHAHAHA! tak apa, tak apa. Kami semua seronok lihat manusia semua begini. HAHAHA!!”

Waktu tu aku berasa geram dan pada masa yang sama berasa malu.

“Jangan kau berhenti wahai manusia, teruskan memandu! Bawa aku pusing satu dunia. Jika tidak aku akan takutkan kau lagi macam tadi!”

Aku bertambah geram. Aku jeling ke kiri, ekor mata dapat melihat di situ satu tubuh yang amat menakutkan. Hitam, bertubuh bongkok, tangannya panjang sehingga mampu mencapai tingkap sebelah. Aku memberanikan diri.

“Sebenarnya dari mana kau ikut aku wahai syaitan durjana?”

“Hahahaha. Sudah lama aku ikuti kau! Berapa kali kau berhenti di lif tadi?”

Aku dah agak dah! Ini mesti ada kaitan dengan ‘kerosakan’ lif di pejabat tadi. Aku kira-kira tadi lif terhenti sebanyak 5 kali, di setiap tingkat.

“5 Kali.”

“Jadi manusia, adakah kau nampak sewaktu aku masuk di lif tadi?. Agaknya kau rasa berapa banyak kaum keluarga aku yang sedang menunggu di depan lif tadi dan pulang bersama-sama dengan kau sekarang ini. Adakah kau nampak kami? Oh tentunya tidak bukan. Sebab kami ini makhluk halus, yang tak boleh dilihat dengan mata kasar. Tetapi, jangan lupa, kami juga boleh menjelma dan memunculkan diri dalam pelbagai bentuk contohnya begini.”

Terkejut beruk aku apabila syaitan tersebut memanjangkan lehernya dan menjenguk aku dari luar tingkap! Mukanya lebih menakutkan daripada tadi! Lidahnya panjang berlendir-lendir. Aku mengucap dan beristighfar berkali-kali.

“HAHAHA! Kau takut lihat penampilanku wahai manusia? Nampaknya kau lebih takutkan aku daripada Tuhan mu. Benar bukan?”

“Kau memang syaitan nirrajimm! Aku percaya semua makhluk ciptaan Tuhan itu wujud. Tapi jangan kau ganggu aku begini. Pulanglah ke tempat asal kau, jangan kau menjelma dan pernampakkan diri kau! Aku hanya taat pada Allah”

“HAHAHAHAHA! Jangan ganggu kau? Adakah kau mahu aku mengulang semula tentang tugas aku terhadap umat manusia seperti yang aku beritahu tadi? Usah cerita pasal taat kalau kau sendiri sudah selalu meninggalkan suruhan Tuhan mu! Aku akan selalu tertawa besar pabila melihat kau berseronok di kelab malam bersama perempuan-perempuan simpanan kau tu. Itu yang kau kata taat? HAHAHA! Tahniah manusia! Tahniah!”

Kena lagi aku dengan setan ni. Pedih menusuk kalbu.

“Vroooommm!!”

Aku toleh ke kiri, ada satu kereta Honda Civic mendesup laju. Aku cuba kejar bagi mendapatkan bantuan. Aku bagi lampu tinggi dan memotong sebelahnya. Di dalamnya ada dua orang lelaki yang memandang aku dengan rasa tak puas hati. Mungkin mereka pelik tengok Myvi mahu ajak berlumba dengan Honda Civic agaknya. Aku bagi isyarat supaya meminta mereka memperlahan kereta. Tapi mereka seakan macam tak faham bahasa badan yang aku cuba sampaikan ini.

Aku cuba tunjukkan apa yang ada di kerusi belakang kereta aku. Mereka tak faham. Aku buka tingkap dan jerit pada mereka. Tetapi dua lelaki ini langsung tak pandang aku, tetapi mata mereka terkelip-kelip memandang atas bumbung kereta aku. Tak lama lepas tu muka mereka nampak agak ketakutan dan rakannya si pemandu terus menekan minyak dan memecut pergi daripada aku. Aku hairan. Macam ada yang tak kena.

“Krehhhhhhhh!!!!”

Aku terperanjat kerana tidak semena-mena syaitan tadi menghulurkan kepala ke tepi tingkap dari atas bumbung!

“Mana tuhan mu? Mintalah pertolongan daripada Dia, mengapa kau minta tolong pada manusia? Adakah kau tak yakin dengan Tuhan mu yang kau selalu kau taati itu? HAHAHAHAHA!!”

Celaka. Syaitan ini nampaknya sudah main kasar. Bergema suara ketawanya dari atas bumbung. Entah macam mana dia bergayut dekat atas tu pun aku tak tahu. Aku tekan pedal minyak hingga ke lantai. Aku tahu aku manusia yang banyak buat dosa. Perlahan-lahan aku baca ayat-ayat suci dengan tenang. Selepas itu aku membaca ayat Kursi dengan keyakinan yang tinggi. Mungkin tadi aku baca dengan main-main dan tidak fokus. Aku lihat jam menunjukkan pukul 8.25 minit malam.

“Aku harap sempat sampai di sana!”

Kereta aku meluncur laju ke exit lebuh raya lalu menuju pondok tol. Aku tahu setan ni pandai dan tak akan menunjukkan dirinya di sini. Sebab orang-orang di tol ni tak perasan pun apa yang ada di atas bumbung kereta aku. Usai melepasi tol, aku tekan minyak lagi dan memecut laju ke simpang tiga hadapan sana. Bonggol semua aku langgar. Aku ambil selekoh ke kiri dan terus. Harap-harap sempat.

“Allahuakbar.. Allahuakbar….. Allahuakbar….”

Aku dapat dengar seperti ada satu suara raungan dari atas kereta. Berdentam-dentum bumbung kereta aku dihentak-hentak. Mungkin ‘dia’ sedang dalam kepanasan dan tak tentu hala. Aku berhentikan kereta. Pada waktu itu orang-orang yang ada di situ semua melihat aku dengan wajah kehairanan. Aku menarik nafas lega ketika meilhat atas bumbung dan dalam kereta. Dia sudah tiada. Ada satu bekas hitam seperti kesan terbakar di atas bumbung kereta. Baunya hangit.

“Dik, kalau iya pun jangan lah parking kereta dekat depan tangga masjid ini. Susah orang nak masuk nanti.”

Aku terpinga-pinga apabila ditegur oleh seorang pak cik di sini.

Lega.

Aku buka kasut lalu menuju ke tempat wudhu untuk sembahyang Isya’. Sudah lama rasanya aku tidak menjejakkan kaki ke masjid.
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment