IKLAN

Sekali lagi rakyat Malaysia menjadi perhatian Jepun setelah kejadian penipuan melibatkan kad kredit palsu


KELAKUAN rakyat Malaysia menjadi perhatian Jepun setelah kejadian penipuan melibatkan kad kredit palsu untuk membeli barangan mewah semakin menjadi-jadi di negara matahari terbit itu.

Ada pihak yang berpendapat kelonggaran dan kemesraan Jepun mengalu-alukan kehadiran pelancong serta tiada tindakan tegas diambil membuatkan negara itu menjadi sasaran penjenayah yang berkaitan China.

Penjenayah semakin kerap memasuki Jepun dan menyamar sebagai pelancong untuk membeli pelbagai barangan di lapangan terbang, malah terlepas begitu sahaja tanpa tangkapan.

Pada Jun, seorang wanita berusia 20 tahun berketurunan Cina dari Malaysia dan seorang lelaki 19 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai selepas disyaki membawa kad kredit palsu ke Jepun.

Difahamkan, kedua-dua suspek diberikan sebuah anak patung di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh seorang rakan subahat mereka.

Terdapat 16 kad kredit palsu di dalam patung itu dan nama kedua-dua suspek tertera pada kad tersebut.

Pasangan itu sengaja memilih untuk terbang ke Jepun melalui Korea Selatan bagi mengelak pemeriksaan bagasi yang ketat untuk penerbangan ke Jepun dari Malaysia.

Setelah mendarat di Jepun, kedua-dua suspek tinggal di dalam lapangan terbang dan sedang cuba untuk membeli jam tangan mewah jenama Gucci beg Louis Vuitton di kawasan membeli-belah bebas cukai dengan niat membawa pulang barangan tersebut ke Malaysia.

Kedua-dua suspek berada di Jepun selama 25 jam sahaja mengikut perancangan yang telah ditetapkan oleh kumpulan jenayah di Malaysia.

Sumber dari pasukan siasatan Jepun menjelaskan: “Kes ini seperti langgar dan lari kerana suspek berjaya lolos selepas membuat pembelian secara haram dan ia semakin menjadi-jadi.”

Sejak 2016, polis Jepun telah menahan seramai 70 rakyat Malaysia selepas disyaki masuk ke Jepun dengan membawa kad kredit palsu.

Menurut laporan akhbar The Mainichi, jumlah seluruh kerugian yang dialami melibatkan 73 juta Yen (RM2.85 juta).

Difahamkan, kumpulan jenayah yang terlibat memindahkan operasi mereka dari China ke Malaysia untuk mengelak siasatan polis di China.

Sumber – Mstar
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment