IKLAN

Misteri Tandas Bawah Tanah


Salam admin, aku ada kisah seram nak story. Ni berdasarkan pengalaman aku bekerja part time sebagar cleaner. Selepas aku habis SPM aku ada amik part time cleaner di bangunan pejabat area rumah aku. Itu pun sebab bapak aku suruh dari aku membuta kat rumah.

Dipendekkan cerita aku kena kerja shift malam, waktu tu kebanyakkan pekerja office sudah pulang ke rumah. Disebabkan aku cleaner baru, aku dilatih oleh senior aku. Aku panggil dia Pak Ali sebab jarak umur kami dalam 25 tahun juga.

Pak Ali suruh aku bersihkan tandas lelaki kat tingkat bawah tanah dulu sebab tingkat atas dah dibersihkan oleh cleaner shift siang. Bagi aku tak kisah sebab waktu malam ni tak ramai orang jadi senang aku nak buat kerja.

Sedang aku bersihkan tandas lelaki tiba-tiba aku terdengar suara orang menjerit. Terkejut aku sebab dah lewat malam ni bukan ada orang sangat. Aku keluar dari tandas lelaki tu dan berjalan ke koridor.

Semasa berjalan tu aku terdengar suara orang menangis. Macam suara perempuan. Aku pasang telinga cari mana datang suara tu. Cari punya cari aku yakin suara tu datang dari tandas perempuan. Aku ketuk pintu tandas sebelum masuk, tanya ada sesiapa tak? Tiada jawapan pun tapi suara tangisan tu makin kuat.

Sebab risau aku pun buat keputusan untuk masuk ke dalam. Ketika aku masuk tidak nampak bayang sesiapa pun. Di dalam tandas tu ada tiga pintu cubicle yang tertutup separuh. Aku perlahan-lahan tolak pintu yang pertama tapi tiada sesiapa.

Pang!

Aku terdengar bunyi sesuatu jatuh kat cubicle sebelah aku. Aku cuak juga masa tu. Walaupun aku lelaki tapi kalau tengah malam sorang-sorang dalam tandas pun boleh naik bulu roma. Aku beranikan diri pergi ke cubicle sebelah. Aku tolak pintunya perlahan-lahan.

“Masyallah!”

Terkejut aku dibuatnya bila aku lihat ada seorang wanita terbaring di dalam cubicle itu. Aku lihat lehernya diikat dengan tali yang panjang. Dia kelihatan mengelupur seperti nyawa-nyawa ikan. Aku lihat kat atas siling ada ikatan tali yang sudah putus. Aku syak perempuan ini cuba bunuh diri.

Aku kaku seketika, memang tidak tahu apa nak buat. Aku perlahan-lahan tarik perempuan itu keluar dari cubicle tu. Aku baringkan dia atas lantas. Daripada baju yang dia pakai aku agak dia pekerja di bangunan ini. Aku tengok matanya sudah naik ke atas. Aku cuba periksa nadinya masih ada. Dia dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Mungkin aku sempat selamatkan dia. Aku tekan-tekan dadanya dan cuba beri penafasan dari mulut ke mulut. Akibat dari pergantungan itu dia mungkin kekurangan oksigen yang diperlukan untuk sampai ke otaknya.

Setelah beberapa kali aku mencuba, dia masih tidak memberi respon yang positif. Ketika ini aku teringat ada emergency box dalam pejabat Pak Ali. Mungkin ada alat bantuan penafasan. Tanpa membuang masa aku berlari ke pejabat Pak Ali.

Setelah sampai aku mencari emergency box di dalam almari.

“Kau nak buat apa dengan benda tu? Tangan luka ke?”

Terkejut aku bila suara Pak Ali tiba-tiba memanggil aku.

“Pak Ali, ada orang cuba bunuh diri kat tandas bawah. Cepat tolong Pak Ali!”

“Hah kau biar betul. Siapa yang nak bunuh diri tu?”

“Saya tak tahu Pak Ali, dia cuba gantung diri dalam tandas perempuan. Dia tengah nyawa-nyawa ikan tu. Kalau lambat nanti tak sempat pula.”

Aku bawa emergency box dengan Pak Ali ikut bersama ke tingkat bawah menuju ke tandas perempuan itu. Apabila sampai sahaja di luar tandas perempuan itu, aku lihat pintu tandas itu terbuka luas. Setahu aku, aku dah tutup pintu itu supaya tiada orang lain melihat.

Aku dengan Pak Ali masuk ke dalam. Luruh jantung aku dibuatnya bila melihat tiada sesiapa di dalam tandas perempuan itu. Aku lihat kembali aras tingkat tandas ini, ianya betul.

“Mana orang yang kau cakap tadi?” tanya Pak Ali.

“Sepatutnya ada kat sini. Saya ingat lagi saya tarik dia dari sana bawa kat lantai ni.”

“Betul ke ni? Jangan nak bohong pula.” Soal Pak Ali.

“Betul! Saya sempat bagi CPR kt dia. Mana tau saya sempat selamatkan dia… Em mungkin dia dah dapat bangun keluar dari tandas ini?”

“Ok jom pergi bilik CCTV kalau nak buktikan teori kau ni.”

Pak Ali bawa aku pergi ke bilik CCTV untuk pastikan teori aku itu betul. Sampai sahaja ke bilik CCTV, aku jumpa Abang Fahmi yang jaga bilik ini. Pak Ali minta abang Fahmi mainkan balik rakaman CCTV di tingkat bawah. Visual yang ditunjukkan itu adalah koridor yang selalu aku lalui semasa buat kerja.

Setelah mendapatkan masa aku masuk ke dalam tandas perempuan itu, aku dapat lihat diri aku keluar berlari dari dalam tandas. Aku terus memerhati rakaman itu. Aku dapat lihat sebelum aku keluar aku telah menutup pintu tandas itu. Namun dalam beberapa minit aku masih tidak nampak apa-apa perubahan.

Tiba-tiba mataku terperasan sesuatu. Pintu tandas perempuan itu terbuka perlahan-lahan. Namun tiada siapa yang keluar waktu itu. Lama-lama rakaman itu menunjukkan aku membawa Pak Ali ke tandas tersebut.

Ketika itu bulu roma aku memang dah meremang. Aku lihat Pak Ali dengan abang Fahmi senyum sahaja.

“Sudahlah kau pergilah balik. Biar pakcik setelkan tingkat bawah ni.” Kata Pak Ali.

Aku memang faham sangat senyuman mereka ni. Aku ikutkan sahaja kata Pak Ali dan terus pulang ke rumah.

Keesokan hari aku demam tiga hari. Aku bagitau kat bapa aku pasal kejadian tu. Bapa aku pergi melawat Pak Ali dan dia kata kat aku yang bangunan itu memang keras. Dia kata memang dulu ada kes perempuan bunuh diri masa zaman kegawatan ekonomi. Mungkin perempuan itu hadapi tekanan mental hingga sanggup bunuh diri.

Dia kata juga abang Fahmi tu dah lali kena gangguan dalam bangunan tu. Kadang-kadang dalam rakaman CCTV dia nampak lembaga perempuan mundar mandir di koridor tingkat bawah tu. Kes ni tak dibesarkan sebab nak jaga publisiti. Bapa aku cakap aku bertuah dapat rasa pengalaman ini supaya aku boleh lebih kuat kalau kena gangguan lagi.

Sekian

sumber : Pensel Studio
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment