IKLAN

"Manusia Atau Makhluk Ghaib?"


Pada satu malam, saya keluar mencari kedai cyber cafĂ© untuk melayari internet kerana ada beberapa email yang perlu dihantar. Saya terjumpa satu bangunan lama dan melihat ada papan tanda bertulis ‘Kafe Internet.’ Saya pergi ke bangunan itu dan di dapati kedai itu berada di tingkat 6.

Apabila saya masuk ke dalam bangunan itu, saya dapati ada laluan koridor yang agak gelap menuju ke lif. Saya berjalan di laluan itu untuk menaiki lif. Apabila saya masuk ke dalam lif, saya melihat butang lif itu tiada nombor 4. Mungkin kerana kepercayaan orang Asia tidak suka menggunakan nombor 4 yang dianggap membawa nasib buruk.

Saya menekan butang lif ke tingkat 6 dan pintu lif pun tertutup. Lif mula naik perlahan-lahan sambil terdengar bunyi gear yang agak bising. Maklumlah lif ini pun kelihatan usang. Terdapat banyak kerosakan kecil boleh dilihat di dalam lif ini.

Apabila lif berhenti dan pintu lif terbuka, saya membuka langkah untuk keluar dari situ. Namun saya mendapati sesuatu yang aneh. Keadaan di luar lif ni sangat gelap. Hanya lampu di dalam lif memberi sedikit cahaya untuk saya melihat keadaan sekeliling.

Saya mendapati terdapat beberapa perabot yang terletak di luar koridor dibaluti dengan kain putih. Tempat ini seperti sudah lama tidak digunakan. Saya cuba memastikan aras mana saya berada namun tiada nombor yang tertera di skrin lif.

Tiba-tiba saya perasan yang ada sesuatu yang bergerak di balik kegelapan. Saya perasan ia datang dari hujung koridor dan perlahan-lahan datang ke arah saya. Apabila ia makin mendekati, saya dapat melihat dengan jelas satu lembaga yang kurus dan wajahnya pucat seperti mayat merangkak ke arah saya.

Jantung saya terus berdegup laju dan saya terus masuk ke dalam lif. Saya tekan butang close untuk menutup pintu lif, namun lampu di dalam lif mula berkelip-kelip sehingga ia terpadam. Saya begitu takut sehingga hampir terkencing dalam seluar.

Saya mula mendengar bunyi sesuatu yang jatuh. Saya hanya diam berdiri dan menunggu di dalam lif sambil berharap lif akan pulih semula. Selepas itu keadaan jadi sunyi sehingga saya dapat mendengar bunyi nafas saya sendiri. Setelah lama berdiri, saya terdengar bunyi dengusan di telinga saya. Dalam keadaan yang gelap saya rasa seperti ada seseorang berada disebelah saya. Saya mula terbau sesuatu yang sangat busuk.

Saya mula rasa tidak selesa dan terus berlari keluar dari lif itu. Saya berlari melalui koridor itu dan mencari tangga untuk keluar dari bangunan ini. Ketika saya berlari, saya melihat ada beberapa tingkap cermin di sebuah bilik yang sudah pecah. Di tingkap itu pula diikat dengan tape polis seperti bilik ini pernah berlaku kes jenayah.

Saya berhenti di situ untuk melihat melalui tingkap itu. Saya terkejut apabila melihat ada beberapa mayat yang diikat badannya dengan rantai dan di gantung di siling. Mayat itu kelihatan sudah lama mereput sehingga saya tidak pasti jantina-jantina mereka. Badan saya basah dan berpeluh walaupun suhu di aras ini berubah menjadi sejuk. Saya langsung tidak tahu apa yang telah berlaku di aras ini.

Tiba-tiba saya terdengar suara seperti seorang gadis sedang menangis. Saya mencari di mana datangnya suara itu namun sukar kerana tidak dapat lihat dengan jelas.

“Tolong… selamatkan saya..”

Suara itu mula meminta tolong. Saya beranikan diri untuk masuk ke dalam bilik yang penuh dengan mayat tergantung itu. Saya terpaksa meraba-raba kerana banyak meja dan perabot berselerakan sehingga menyukarkan saya untuk berjalan.

“Saya di sini.. tolong..”

Suara itu makin kuat bunyinya. Seperti ia berada berdekatan dengan saya. Saya meraba-raba dan mengalihkan meja yang menghalang laluan saya.

“Siapa awak? Awak berada di mana?”

Saya bersuara untuk memastikan gadis itu tahu tentang kehadiran saya. Namun tiada jawapan daripada gadis itu. Apa yang dia mahukan? Pelbagai persoalan bermain di fikiran saya. Selepas beberapa ketika, mata saya sudah mula dapat melihat dalam gelap. Saya dapati bilik yang saya masuki ini adalah bilik yang penuh dengan kelengkapan klinik.

Saya dapat melihat ada sebuah meja seperti meja doktor yang penuh dengan dokumen yang berselerakan. Ketika itu saya dapat melihat ada satu tanda nama yang terletak di atas meja itu dan bertulis Dr. Henry. Siapakan Dr. Henry ini? Adakah klinik ini kepunyaan Dr Henry?

“Bang!”

Saya terkejut bila satu daripada mayat-mayat yang tergantung itu terjatuh. Angin mula meniup laju walaupun tidak tahu dari mana datangnya. Mayat-mayat itu pula mula mengayun laju.

“Warrgggghhhhh!!!!”

Kali ini saya terdengar suara orang menjerit pula. Seperti menjerit kesakitan. Suara itu datang dari luar bilik. Saya terus keluar dari bilik kerana keadaan mula menjadi makin teruk. Saya tidak mampu bertahan untuk berada di sini lagi. Saya terus mencari-cari jalan keluar. Saya berlari di koridor sehingga saya nampak ada pintu yang mempunyai tanda keluar. Hati saya mula rasa lega. Ketika saya menghampiri pintu keluar itu, suara gadis itu kedengaran lagi.

“Jangan tinggalkan saya.. Saya tidak mahu mati..”

Saya menoleh ke belakang, saya dapati ada seorang gadis sedang berdiri di koridor itu. Gadis itu menangis sambil menghulurkan tangannya seperti mahu saya mencapainya. Saya dalam keadaan serba salah. Saya mahu pergi dari bangunan ini secepat mungkin namun saya keberatan untuk meninggalkan gadis itu. Kehadiran gadis ini membuatkan saya ragu adakah dia adalah manusia ataupun makhluk ghaib.

Ketika dalam keraguan, terdapat seorang lelaki datang dari belakang gadis itu. Lelaki itu berpakaian seperti doktor dan memegang beg alatan perubatan. Saya terpaku melihat kehadiran lelaki itu. Tiba-tiba lelaki itu menyuntik sesuatu di leher gadis itu sehingga gadis itu jatuh rebah di lantai. Lelaki itu kemudian menjerit dan berlari ke arah saya. Saya terkejut dan terus berlari melalui pintu keluar. Saya menjumpai tangga bangunan itu dan terus menuruni tangga.

Ketika saya menuruni satu tingkat, saya dapati tingkat yang saya turun itu adalah tingkat 3. Jadi selama ini saya berada di tingkat 4. Saya terus berlari sehingga saya berjaya keluar dari bangunan itu. Tangga yang saya lalui itu membawa saya ke bahagian belakang bangunan itu. Tiada siapa yang berada di situ.

Saya tercungap-cungap dan berhenti berlari. Ketika itu saya pasti yang lelaki itu tidak mengejar saya lagi. Saya lihat keadaan sekeliling dan bangunan itu. Apa yang sedang berlaku di dalam bangunan ini? Saya cuba mencari jawapan namun saya tidak akan masuk kembali ke dalam bangunan ini. Saya akan cuba cari bantuan dari orang luar.

Ketika saya mahu beredar, pandangan saya beralih melihat ke atas bangunan itu. Terdapat beberapa tingkap yang gelap namun hanya satu sahaja yang bercahaya. Tingkap itu saya pasti dari tingkat 4. Kelihatan terdapat bayang-bayang manusia sedang tergantung sambil berayun-ayun. Saya pasti itu adalah mayat yang saya nampak sebelum ini.

Tiba-tiba terdapat satu lelaki muncul di tingkap itu. Dia adalah lelaki yang mengejar saya tadi. Lelaki itu memandang saya dengan pandangan mata yang merah. Saya tergaman apabila bertentangan mata dengannya. Ia bukanlah pandangan manusia biasa. Pandangannya sangat menakutkan.

Lampu di bilik tingkap itu terus tertutup dan menjadi gelap. Saya terus beredar dari situ dan pergi ke bahagian depan. Terdapat satu restoren yang baru nak tutup berada di tingkat satu bangunan itu. Saya terus masuk ke dalam restoren itu dan bertanya dengan seorang pekerja yang sedang ‘closing.’ Saya tanya apa yang telah berlaku di dalam bangunan ini.

Pekerja itu terkejut mendengar apa yang saya lalui sebelum ini dan dia beritahu tingkat 4 itu sudah lama di tutup. Pekerja itu beritahu bahawa dahulu terdapat satu klinik yang beroperasi di tingkat 4 itu dan seorang doktor lelaki bernama Henry telah ditahan kerana melakukan satu ujikaji yang sangat mengerikan terhadap pesakitnya.

Dikatakan doktor itu telah mencipta satu virus yang boleh membuatkan sesorang itu menghidapi demam panas yang teruk. Doktor itu memilih dan kurung pesakit yang datang ke kliniknya untuk menguji virus itu. Sebelum dia berjaya mencipta penawar virus itu, beberapa mangsanya telah mati dan mayatnya disimpan dan digantung dalam bilik sejuk yang tersorok di dalam kliniknya.

Pelbagai cara doktor itu menyebarkan virusnya termasuk menyuntik virus itu di dalam badan anak perempuannya sendiri dan memaksa anaknya melacur. Dengan tersebarnya virus itu, doktor itu telah mendapat reputasi yang tinggi kerana berjaya merawat ramai penghidap virus itu dan kliniknya telah mengaut keuntungan yang tinggi.

Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya segala kelakuan doktor itu terbongkar apabila anak perempuannya telah melapor kejahatannya kepada pihak polis. Anak perempuannya telah meninggal dunia akibat overdose virus itu. Doktor itu telah dijatuhkan hukuman mati dua tahun yang lalu. Pesakit yang dihidapi virus itu segera dirawat dan polis menjumpai beberapa mayat yang disimpan di dalam klinik tersebut.

Sejak kejadian itu, klinik doktor itu telah ditutup oleh pihak polis. Tiada siapa yang dibenarkan untuk memasuki tingkap 4 itu kerana ia telah dikuarantin. Butang lif telah diubah supaya orang tidak pergi ke tingkap 4. Namun banyak kejadian yang menimpa oleh pelawat bangunan ini yang secara tidak sengaja termasuk ke tingkap 4.

Dikatakan mereka terjumpa roh doktor itu sedang melakukan ujikaji terhadap pesakitnya. Ada yang pernah jadi gila apabila keluar dari tingkap 4 tersebut kerana ‘melihat’ kekejaman yang dilakukan oleh roh doktor itu.

Saya terkejut apabila mendengar perkara ini. Saya dinasihatkan oleh pekerja tersebut supaya berhati-hati apabila saya beritahu saya bukannya penduduk disini. Pekerja itu berkata walaupun doktor itu sudah mati, namun masih ada penduduk bandar ini dijangkiti oleh virus itu, dan kadar pesakit yang sembuh adalah tipis sekali. Dikatakan penawar yang dicipta oleh doktor itu tidak membunuh virus itu dengan sepenuhnya.

Namun pada keesokan harinya…
Apabila saya bangun dari tidur..
Suhu badan saya mula naik dengan tinggi..
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment