IKLAN

Khemah Digoncang Langsuir


Azrin Abdul Karim, sudah berjaya menakluk hampir 50 gunung di dalam dan luar negara sejak berkecimpung dalam aktiviti mendaki kira-kira 25 tahun lalu. Menurut Azrin, keserasiannya dengan hutan membuatkan mereka jarang berpisah. Jika ada kelapangan beliau akan meredah hutan walaupun hanya bersendirian.

Azrin Abdul Karim yang merupakan seorang pengamal pusat rawatan Islam dan tradisional di Kuala Lumpur itu berkata, sepanjang meneroka hutan beliau pernah beberapa kali berdepan dengan kejadian misteri dan dan tak kurang juga kejadian yang menakutkan. Salah satu daripadanya adalah kejadian yang berlaku di puncak Gunung Liang Timur yang terletak dalam perjalanan menuju ke Gunung Tumang Batak di Tanjung Malim, Perak.

Azrin Abdul Karim
Dalam kejadian pada 2011 itu, Azrin mendaki Gunung Liang Timur itu bersendirian apabila rakannya membatalkan niat untuk turut serta pada saat-saat akhir. Oleh kerana rancangan mendaki Gunung Tumang Batak sudah beberapa kali tertangguh, beliau nekad untuk meneruskan pendakian walaupun seorang diri pada hari itu. “Untuk ke Gunung Tumang Batak, kita mesti panjat Gunung Liang Timur dahulu. Ketinggian kedua-dua gunung ini lebih kurang 2,000 meter,” kata Azrin.

Menurut Azrin, laluan ke puncak Gunung Liang Timur yang sudah lama tidak dimasuki pendaki memaksa beliau meredah dan menebas semak yang tebal. Namun orang kata alah bisa, tegal biasa. Beliau tidak berasa janggal kerana sudah terbiasa meredah hutan seorang diri. Tambah beliau, rasa bimbang cuma datang apabila terbayang wajah harimau kumbang kerana kawasan itu adalah habitat haiwan liar berkenaan.

Laluan Gunung Liang Timur
Selepas lebih lima jam meredah hutan yang pernah menjadi lokasi persembunyian komunis itu, Azrin akhirnya tiba di puncak gunung Liang Timur yang terletak pada ketinggian 1,933 meter. Puncak Liang Timur itu merupakan lokasi persinggahan pertama sebelum beliau meneruskan pendakian ke Gunung Tumang Batak pada keesokan harinya. Sebelum malam melabuhkan tirai, beliau sempat membersihkan kawasan di tapak perkhemahannya yang dipenuhi dengan sampah dan cebisan kain berwarna kuning.

Azrin berkata,”Kawasan itu dipenuhi dengan kain-kain kuning bertulisan Siam. Jadi saya syak, itu semua adalah sisa daripada aktiviti pemujaan”. Selepas membersihkan kawasan itu, beliau kembali kepada kerja-kerja rutin seperti mendirikan khemah dan memasak. Senja di puncak gunung itu yang diselubungi kabus, dirasakan agak seram berbanding pengalaman di gunung-gunung yang pernah didakinya.

Tidak lama selepas itu, kesunyian malam di puncak gunung itu dikejutkan dengan bunyi yang tidak menyenangkan. Selepas mengamati bunyi yang datang kira-kira 50 meter dari khemahnya, beliau yakin bunyi itu adalah suara perempuan menangis. “Tangisan mendayu-dayu itu saya dengar beberapa minit sebelum saya cabar ‘dia’ supaya datang lebih dekat. Sejurus selepas itu suara tersebut lenyap begitu sahaja. Sebenarnya saya terlepas cakap, sebab memang dah tak tahu nak cakap apa,” kata Azrin.

Sebaik sahaja bunyi tangisan itu reda, suasana malam diganti semula dengan bunyian unggas dan cengkerik. Ketika itu, Azrin berusaha untuk melelapkan matanya. Dari dalam khemahnya yang diterangi oleh sedikit cahaya bulan, beliau yang belum terlelap sekali lagi dikejutkan. Kali ini beliau dikejutkan oleh bayang-bayang yang berlegar-legar terbang di atas khemahnya. Menurut cerita Azrin, bayangan lembaga bersayap itu kemudian bertindak lebih ganas dengan menggoncang khemahnya berkali-kali sebelum berjaya dihalau dengan bacaan ayat suci al-Quran.

Makhluk terbang yang menggoncang khemah milik Azrin itu mungkin langsuir kerana rupa sebenarnya tidak kelihatan dengan jelas. Azrin memberitahu, selepas suasana reda, barulah beliau keluar dari khemah untuk memagar kawasan tersebut. Biasanya bila ada kejadian seperti itu, Azrin akan ‘memagar’ kawasan itu supaya kejadian seperti itu tidak berulang kepada pendaki lain. Sepanjang pengalamannya dalam 20 tahun mendaki, ada banyak perkara pelik yang berlaku tapi yang ini paling Azrin tidak boleh lupa.

Sebagai peringatan kepada pembaca setia kisahseram.com, jagalah mulut masing-masing dari bercakap besar atau bersikap celupar terutamanya apabila berada di kawasan hutan dan gunung kerana tempat-tempat ini merupakan tempat tinggal bagi kebanyakan makhluk halus. Perlu diingat bahawa makhluk halus ada di mana-mana walaupun tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Sumber cerita di atas dipetik dari Rencana Utusan Online.
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment