IKLAN

KISAH PEGAWAI BANK MALAYSIA YANG MENCURI 1 SEN SAMPAILAH DIA JADI JUTAWAN


(UPDATE 18/5/2017: Kebanyakan blog dan forum bagi gelaran ‘pencuri satu sen’ kepada Aman Shah. Tapi ada pembaca kami yang bagitau gelaran ni tak tepat, dan bila kami teliti semua keratan akhbar, memang takde cakap pun berapa sen dia ambil daripada setiap akaun. Yang pasti, bila kena tangkap memang dia buat muka dia seposen.)

“Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit,” itulah pepatah Melayu yang selalu orang tua guna untuk menggalakkan kita menabung. Kalau hari-hari simpan 10 ringgit, tunggu 10 tahun dah boleh beli Perodua Axia SE Edition sebijik.

Tapi bagi seorang rakyat Malaysia ni, dia guna prinsip yang sama tapi bukan dengan menabung duit sendiri, tapi dengan mencuri orang lain. Pada tahun 1990 dulu, ada seorang pegawai bank yang mencuri 1 sen je duit pelanggan sampailah dia jadi jutawan!

Pada yang tak pernah dengar, hari ini SOSCILI nak ceritakan kisah dia yang berjaya memiliki pelbagai kereta mewah dengan hanya mencuri 1 sen je dari bank. Apa dia buat? Macam mana 1 sen boleh menjadikan dia ni jutawan?

Bank Negara Malaysia pun kena tipu dengan mamat ini

Semuanya bermula apabila Aman Shah Ahmad yang berusia 24 tahun pada ketika itu diambil bekerja di Hock Hua Bank Jalan Raja Laut, KL sebagai seorang esekutif muda dengan pendapatan kira-kira RM1800 sebulan.

Inilah salah satu peninggalan Hock Hua Bank yang masih wujud.Sumber dari koleksijohari.com

Bekas pelajar jurusan perakaunan dari Institut Teknologi Mara ini merupakan seorang pekerja bank yang agak cekap sebenarnya sehinggakan dia diberi kepercayaan menguruskan akaun-akaun pelangan.

Pada mulanya memang tak ada apa yang berlaku, tetapi semuanya berubah apabila dia dihantar oleh pihak bank mengikuti kursus komputer. Kat sinilah dia mula belajar tentang selok belok computer banking dan tanpa orang lain sedari dia ni telah membuat satu perancangan yang sangat licik sampaikan Bank Negara Malaysia pun kena tipu.

Dengan jawatan barunya sebagai sebagai Ketua Jabatan pemprosesan Sistem Pemindahan Elektronik Untuk Dana dan Sekuriti (SPEED) di Hock Hua Bank, dia telah mengemukakan arahan palsu melalui sistem tersebut dengan memperdaya pengurusan Bank Negara sendiri.

Melalui arahan ini, dia secara senyap-senyap mengambil duit klien dan memindahkanya ke akaun Bank Bumiputra miliknya sendiri tanpa ada pihak yang sedar. Aman Shah juga telah mencipta satu program, di mana sistem ini akan mengambil 1 sen je dari setiap akaun pelanggan di Hock Hua Bank.

Satu sen! Atau 5 sen sekalipun kalau hilang dalam bank korang mana perasankan, tapi kalau dah banyak sangat klien yang kena macam itu memang boleh  kayalah dia. Korang bayangkan lah, dalam masa beberapa tahun je dia bekerja dengan bank dah bulih songlap duit sampai RM4.01 juta!

Beli 6 bijik kereta mewah dan selamba pergi pamerkan di Plaza Bukit Bintang

Korang tahu tak apa yang dia buat dengan duit-duit tu. Dengan duit yang banyak tadi aman shah telah berhenti daripada Hock Hua Bank dan membuka syarikatnya sendiri iaitu Agensi Pengiklanan Bistro dekat Kuala Lumpur.

Bukan takat tu je, dia juga telah membeli enam bijik kereta mewah iaitu Lamborghini Countach bernilai RM1.3 juta, Mercedes Benz 300SL (RM502, 000), Mercedes Benz 300E (RM192, 000), Porsche 928 S4 (RM638, 000), Porsche Carrera (RM350, 000) dan BMW 329i (RM68, 000).

Dari kanan, kerata jenis Lamborghini Countach dan Porsche 928 S4.

Yang lebih memeranjatkan lagi apabila dua keretanya, lamborghini Countach dan Porsche Carrera tiba di Malaysia melalui penghantaran khas menggunakan kapal terbang dari London, manakala BMW 329i adalah kereta terpakai.

Bagi melindungi harta beliau yang luar biasa, Aman Shah sengaja meletakkan kereta-kerata mewah yang dia miliki di pusat pameran dekat Plaza Bukit Bintang dan akan mengambilnya bila dia terasa nak pakai je.

Semua kereta mewah ni pula dia beli secara tunai dengan tiga daripadanya tidak didaftarkan dan tidak dibayar cukai import, manakala dua lagi didaftarkan atas namanya sendiri manakala sebuah lagi atas nama teman wanitanya.

Keratan akhbar tempatan menunjukan deretan kereta mewah milik Aman Shah. Sumber dari photobucket.com


Dengan beraninya muncul di TV3 dan menceritakan kehebatan kereta-keretanya

Kelemahan Aman Shah ialah dia lupa diri, dengan beraninya dia telah menghadiri satu program bual bicara Sekapur Sirih pada 3 Jun 1990 di TV3. Kali ini nasib tidak menyebelahinya apabila bekas pengurusnya di Hock Hua Bank kebetulan sedang tengok rancangan tu.

Memang terperanjatlah ketuanya bila dia dapat tahu yang Aman Shah sekarang dah kaya raya dan memiliki banyak kereta mewah. Dia pun hairan bagaimana bekas pekerjanya dengan gaji RM1800 mampu memiiki pelbagai jenis supercar walaupun tak sampai setahun dia tinggalkan bank tersebut.

Dengan syak wasangka yang tinggi, pengurus ni tadi telah melakuan satu audit dalaman dan mendapati kira-kira RM4.01 juta telah lesap daripada pengetahuan bank. Bila pihak bank dapat tahu je pasal benda ini dorang pun dengan segera membuat laporan di Balai Polis Campbell pada 8 Jun 1990.

Inilah wajah sebenar Aman Shah Ahmad ketika dia ditangkap polis dan didakwa di mahkamah. Sumber dari carigold.com
Tak lama lepas tu pihak polis berjaya mengesan Aman Shah dan tangkapat telah dilakukan di sebuah Kondominium yang terletak di Bangsar. Ibarat pelanduk yang lupakan jerat, akhirnya Aman Shah ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Ditangkap, tetapi tak mampu bayar ikat jamin

Melalui kenyataan daripada pengarah siasatan jenayah Bukit Aman ketika itu, Datuk Shamsuri Arshad berkata bahawa penipuan ini telah dilakukan dengan sangat teliti apabila dia berjaya memindahkan wang pelanggan bank ke dalam akaunnya selepas berjaya memecahkan kod keselamatan yang direka khas untuk sistem perbankan di Malaysia.

Akhirnya Aman Shah telah dibawah ke mahkamah dan didakwa mengikut Sekyen 420 Kanun Keseksayan yang membawa kepada 10 tahun penjara dan denda. Dia juga menghadapi empat pertuduhan menipu dengan jumlah keseluruhan mencecah RM4.01 juta.

Sumber dari twicsy.com
Yang peliknya, ketika perbicaraan berlangsung, hakim telah menetapkan ikat jamin sebanyak RM200,000 dengan dua orang penjamin tetapi dia mengakui tidak mampu untuk membayar wang jaminan tersebut.

Mungkin kerana dirinya yang tidak beringat dan suka berbelanja mewah, akhirnya dia gagal diikat jamin dan dihantar ke Penjara Pudu sehingga perbicaraan selesai. Aman Shah akhirnya telah didapati bersalah dan dihukum penjara 5 tahun di atas kesalahan pecah amanah.

Sebenarnya kisah ini agak popular sekitar tahun 1990 dahulu tetapi kami tidak tahu pula apa yang terjadi terhadap Aman Shah pada hari ini. Untuk pengetahuan korang, Bank Hock Hua ini pun dah tak ada lagi sekarang apabila ianya telah digabungkan dengan Public Bank pada tahun 2000.

Kesimpulanya, janganlah korang nak jadikan pencuri sebagai kerjaya korang. Walaupun 1 sen yang diambil, ianya tetap tidak berkat sebab duit tu bukan hak korang. Mungkin penjenayah boleh lepas dengan hukuman dunia, tetapi di akhirat nanti semuanya akan di hisab.

sumber : soscili
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment