IKLAN

“MAKCIK TERPERANJAT DENGAR BUNYI TANGISAN DI CELAH SEMAK SEORANG DIRI”

'Makcik dengar bunyi budak menangis di celah semak'
‘Makcik dengar bunyi budak menangis di celah semak’
Makcik dengar bunyi tangisan di celah semak, sebaik sampai situ, makcik terperanjat tengok dia seorang diri,” kata Rosnah Samsuri, 60, selepas menemui seorang kanak-kanak berusia setahun di dalam semak-samun berhampiran Bagan Sungai Besar pada 9 Februari lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, kanak-kanak lelaki itu dipercayai ditinggalkan ibunya bersendirian di semak terbiar itu kerana ingin melepaskan gian di port penagihan dadah, di sini.
Rosnah yang menetap di Kampung Nelayan berhampiran berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan menuju ke Bagan Sunagi Besar dengan menaiki motosikal yang ditunggang anak lelakinya.
“Makcik tengok budak kecil ni berjalan sambil menangis dalam belukar. Keadaannya tak terurus dan comot sebab dipenuhi kesan lumpur tanah pada pakaian.
“Makcik dekati dan cuba tenangkannya, tapi dia tetap merengek. Makcik nekad bawa dia balik ke rumah selepas tiada yang menuntutnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Rosnah, semasa berada di rumahnya, kanak-kanak yang dipanggilnya sebagai ‘Adam’ itu dipercayai dalam keadaan tidak sihat berikutan suhu badannya tinggi.
“Bila pegang badannya terasa panas, mungkin dia demam. Makcik beri dia minum air kelapa, baru demamnya susut,” katanya.
Rosnah yang menjaga kanak-kanak itu sepanjang tiga hari berkata, kehadiran Adam dalam keluarganya itu menceriakan mereka sekeluarga terutama dengan keletah kanak-kanak itu yang mencuit hati.
“Pastinya gelak tawa dia tu yang tak boleh makcik lupakan. Ke mana makcik pergi dia ikut, malah kalau tidur pun nak makcik di sebelahnya. Makcik dah anggap dia macam anak sendiri,” katanya.
Ibu kepada 10 orang anak itu berkata, belum sempat dia membuat laporan polis berhubung penemuan kanak-kanak itu, wanita yang dipercayai ibunya mengambil semula anaknya pagi Khamis lalu.
“Makcik ingat nak buat laporan polis kalau tak tuntut lebih empat hari. Nasib baik, mak budak ni datang ke rumah.
“Mak Adam cakap dia ke sini (rumah) bila dapat tahu anaknya tinggal dengan makcik daripada jiran-jiran terdekat. Jadi makcik pulangkan Adam kepada emaknya,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, selepas menyerahkan kanak-kanak itu kembali kepada ibunya, dia dihantui perasaan bimbang apabila mengetahui ibu kanak-kanak itu penagih dadah yang turut membawa anaknya itu ke port penagihan.
“Wanita itu beritahu suaminya baru meninggal dunia. Tak tahulah betul ke tak. Dia cakap nak bawa Adam ke sana. Saya risau masa depannya yang tinggal dengan penagih lain di tempat penagihan,” katanya.
Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi yang turut bertandang ke rumah Rosnah selepas mengetahui perkara itu berkata, agensi berwajib diminta supaya peka dengan aduan daripada masyarakat berhubung kanak-kanak terbiar dan mereka ini mestilah diberi perlindungan yang sewajarnya.
“Kita minta juga kerjasama daripada masyarakat supaya melaporkan terus kepada pihak berwajib. Kita puji usaha yang dilakukan makcik ini dalam menyalurkan maklumat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Sinar Harian difahamkan sehingga jam 12 tengah hari semalam, kanak-kanak itu masih bersama ibunya di lokasi penagihan dan kes itu di bawah perhatian JKM untuk tindakan lanjut.
 Sumber: Sinar Harian

Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment