IKLAN

Tidak perlu tahu dana parti, yang penting cukup, kata ahli MT Umno

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bukan keperluan parti dedah sumber kewangannya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Ogos, 2015.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bukanlah satu keperluan bagi Umno mendedahkan dari mana datangnya sumber kewangan parti, kerana yang paling penting dana berkenaan cukup untuk perbelanjaan pilihan raya.


Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu berkata, dasar berkenaan sudah terpakai sejak kepimpinan Umno sebelum ini dan persoalan dana parti juga tidak pernah dibangkitkan di peringkat negeri.
"Saya dah hadapi beberapa pilihan raya dan pengerusi perhubungan negeri tidak pernah pun memaklumkan berapa jumlah negeri dapat sumbangan sewaktu pilihan raya dan sebagainya.
"Kita pun tidak pernah menimbulkan perkara tersebut sebab kita tahu apa yang diperoleh tidak perlu dimaklumkan kepada kita.


"Yang kita tahu, parti mampu bergerak sewaktu pilihan raya," katanya ketika meraikan sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Risda di Kuala Lumpur hari ini.
Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad semalam dilaporkan berkata, ahli MT Umno tidak pernah bertanya dan ahlinya tidak pernah diberi taklimat mengenai sebarang sumbangan politik kepada akaun di bawah pegangan amanah presiden atau bendahari parti.
Katanya, seperti dilaporkan blog MyKMU.netMT, jawatankuasa perhubungan negeri parti dan MT tidak pernah diberitahu mengenai apa-apa sumbangan atau derma politik yang diterima.
Mengulas desakan pihak tertentu yang mahu bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai timbalan presiden Umno, Ismail menyifatkan ia hanya pandangan individu.
Katanya, pandangan itu tidak mewakili hasrat Umno negeri yang mungkin datang daripada bahagian Umno yang sedang mengadakan persidangan.


"Secara keseluruhannya, saya tidak nampak ada perpecahan dalam Umno. Tetapi Umno juga terbuka pada ahlinya untuk memberikan pandangan secara peribadi dan sebagainya.
"Jadi, kita tidak ada apa-apa perkara yang boleh menimbulkan perpecahan kali ini," katanya sambil menambah untuk memenangi pilihan raya, ahli Umno harus bersatu.


"Fokus parti adalah untuk menang pilihan raya. Itu yang paling penting kita berparti ini," katanya.
Ismail berkata tidak wujud desakan dalam parti agar Muhyiddin, yang digugurkan dari Kabinet hujung bulan lalu, atau mana-mana pemimpin kanan Umno berundur.
Sebaliknya katanya, sokongan kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak semakin diperkuatkan dan ia dapat diterjemahkan dalam mesyuarat perwakilan Umno peringkat bahagian yang sedang diadakan sekarang.


"Setakat hari ini, tiada perbincangan pun tentang perkara tersebut. Tiada perbincangan dari segi timbalan presiden atau naib presiden," katanya merujuk kedudukan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang turut tersingkir daripada Kabinet baharu.

Ismail berkata, parti ketika ini berjalan seperti biasa dan usul yang dibuat semasa mesyuarat perwakilan di peringkat bahagian menyokong penuh kepimpinan presiden.


"Yang kita perlu fokus, berdiri teguh di belakang presiden dan bersatu bersama presiden menghadapi perkara yang lebih besar iaitu pilihan raya," katanya. – 7 Ogos, 2015.

Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment